Tanggal 30-1-2016 telah menyaksikan julung kalinya perlumbaan CCT berkonsepkan rally cross yang mana Joker Lap menjadi taruhan atau strategi kemenangan. Pada mulanya ramai peserta agak gementar atau keliru bagaimana corak perlumbaan ini namun setelah menerangkan dan melepasi heat pertama, masing-masing sudah mula menyusun strategi, hasilnya ada yang kurang berkuasa enjinnya berjaya menduduki podium. Penglibatan peserta dari Terengganu, Lembah Klang dan sudah pastinya Melaka telah menjanjikan satu aksi padat. Terima kasih pada Ftuned Racing Suspension kerana turut menjadi rakan dalam penganjuran X-League Battle Series.
Auto & CVT
Abdul Halim dari Kamal Spray BRC Motorsports telah membuktikan bahawa transmisi automatik tidak menghalang beliau untuk menduduki podium malah heat yang kedua beliau telah menjarakkan diri dari jentera-jentera Super 1500 NA yang berentap sekali dalam setiap heat. Abdul Halim walaupun pada permulaan heat cuba dicabar oleh Nazrul Hakimi yang memandu Proton Saga BLM dari KF Autogarage. Namun Abdul Halim yang pantas menggunakan kelebihan Joker Lap menjarakkan diri sekaligus duduk di dalam kelompok Super 1500 Na secara berterusan meninggalkan Nazrul Hakimi dan sekaligus memenangi tempat pertama pusingan kali ini.
Super 1500 NA
Menarik kategori ini kerana satu-satunya peserta wanita turut serta menyertai X League Battle Series. Faye Kusairi nama yang tidak dalam dunia perlumbaan dan juga lakonan telah memulakan langkah dengan menyakinkan apabila memenangi tempat pertama di heat yang pertama. Namun sayang apabila pada yang heat ke-2 beliau terpaksa menamatkan perlumbaan kerana mengalami masalah driveshaft “Driveshaft patah sebelum heat 2 bermula. Saya akan datang balik untuk pusingan kedua untuk mencuba kembali menduduki tempat pertama, and yes!! X-League sangat ekstrem menyeronokkan”. Peluang ini dirampas dengan begitu baik oleh Muhammad Ezwan Masuri dari Buildups Garage @ Bugs Tuned memandu Perodua Kelisa telah memenangi tempat pertama. Tempat kedua dimiliki oleh jagoan SNF dan bakal menyertai MSF Racing iaitu Jarryd Tan dari Team T3R yang memandu Proton Saga telah memenangi tempat kedua. Menyedari jenteranya pantas beliau telah menggunakan Joker Lap sebaik mungkin dan telah memintas Suhaimi Ali yang memandu Perodua Kancil Turbo di pusingan terakhir sekaligus menduduki tempat kedua diikuti Suhaimi Ali.
Street 1600 Limited
Fadhlan Hilmi telah menjadi tumpuan kerana beliau merupakan top contender di dalam SNF Racing bersama rakannya. Maka tidak hairanlah peserta kategori ini bersedia memberikan saingan sengit. Chase Lin yang memandu Suzuki Swift dari FK Massimo dari awal saringan lagi telah cuba memberikan saingan hebat. Namun kesabaran dan pantas memilih strategi menjadi senjata utama Fadhlan yang bijak memilih lap yang keberapa untuk memasuki Joker Lap dan sekali gus menduduki tempat pertama. Walaupun Chase Lin mencubanya disaat terakhir dan hampir saja memintas Fadhlan namun tidak sempat dan hanya terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Sayang buat Yusri Jamil dari SCRS Motorsports apabila gagal menamatkan perlumbaan walaupun berpeluang menduduki tempat ketiga. “Saya mengharapkan lebih ramai penyertaan pusingan kedua kerana X-League satu medan intro Door-to-door racing. Jujur saya katakan ada satu dua peserta jika terus menyertai X-League dan masa hadapan menyertai MSF Racing akan menyukarkan saya dan rakan saya dan sekaligus memberikan satu saingan yang sengit,” Fadhlan yang sangat gembira melihat persaingan dalam pusingan pertama ini.
Open/VTEC/Turbo
Boleh dikatakan kategori yang ultimate buat masa sekarang. Azahari Jaafar dari BRC Motorsports telah berjaya memenangi tempat pertama walaupun terpaksa bermula dari belakang sekali kerana tidak menyertai Heat 2 dan 3 kerana mengalami masalah mekanikal. Namun ini tidak menghalang beliau untuk menduduki tempat pertama. Pertempuran menarik melibatkan Amir Zainal dari TZ Motorsports dan Mohd Shaifulizam dari DRT. Amir Zainal satu-satunya jentera bernadikan NA terpaksa berhempas – pulas dan memikirkan strategi bilakah joker lap perlu diambil. Mohd Shaifulizam juga yang dalam misi mengejar Azahari juga memikirkan strategi yang baik. Namun Amir Zainal telah mengambil keputusan tepat apabila memasuki Joker Lap pada lap ke-3 sekaligus berjaya memintas Mohd Shaifulizam dan menduduki tempat kedua.
Inilah keistimewaan Joker Lap. Jentera anda pantas namun strategi menjadi kunci utama. Dalam dunia racing door to door strategi merupakan kunci utama. X League mengajar anda memilih dan menyusun strategi. Jumpa lagi di Litar Dato Sagor pada 27.2.2016.