Pusingan Kedua Persaingan Sengit Bakal Tercetus

13

Malaysia Speed Festival Racing Series pusingan kedua bakal berlangsung pada 30-7-2016 di Litar Antarabangsa Sepang. Tinggal lagi 30 hari sahaja lagi. Ini bermakna selepas tamatnya tempoh festival hari raya, 11-7-2016 maka bermulalah gendang perang, persiapan rapi jentera perang masing-masing, perang saraf di media sosial, dan tak kurang juga yang memandang sinis dengan persiapan para pahlawan Malaysia ini tapi tidak berani bertempur secara door to door dengan mereka.

Special Kei

Dijangkakan saingan sengit antara mereka bertiga pasti akan tercetus kembali. Ezamin, Hafez, K.Logesvaran telah bersaing dengan begitu sengit pada saringan terakhir baru-baru ini. Perhatikan saja jumlah perbezaan masa antara mereka bertiga, hanya dibezakan dengan MILISAAT! Ini sudah cukup mengambarkan betapa sengitnya pertempuran tempat pertama. Ezamin yang garang pada saringan pertama namun terpaksa berpuas hati di tempat ketiga disebabkan masalah suhu sudah pasti akan bangkit untuk merampas tempat pertama. Itu belum dikira jagoan-jagoan lain yang kecundang awal seperti Zahid Latif, Tarmizi, Johari, mereka ini merupakan pesaing hebat dalam kategori ini sudah pasti bangkit untuk mencabar sekaligus merampas tempat pertama.

Super 1500 NA

Dominasi kuasa baru telah mengejutkan ramai pihak. Ramai menjangkakan kuasa lama di dalam SNF akan mengungguli tempat pertama. Keu Sian Shi, Mervin Gregory/Davy Wong, Chow Foo Wing telah mendominasi tempat tiga teratas. Aril Hamka, Nazrul Hakim, Tan Say Hin, Attaq/Khairul Nizam merupakan jagoan lama yang amat disegani pada musim terakhir SNF 2015 namun pada pusingan pertama MSF mereka agak sedikit tenggelam kerana masing-masing mengalami masalah enjin tapi tidak mustahil mereka akan bangkit semula kerana jika diikutkan catatan masa mereka ini sebenarnya lebih kurang sama dengan mereka yang menduduki tempat tiga teratas.

Saga Cup

alif18 buah kereta, kesemuanya model sama. Kesemuanya pernah satu ketika menjadi kebanggaan jutaan rakyat Malaysia ketika itu. Kereta pertama Malaysia dan hari ini dibangkitkan semula dan berlumba di Litar Antarabangsa Sepang. Pertempuran antara Alif Hamdan dan Fariqe Hairuman telah menjadi tumpuan pada pusingan pertama. Fariqe yang melakukan sedikit kesilapan telah menyebabkan Alif Hamdan menjarakkan diri dalam satu jarak yang sangat selesa. Namun Fariqe bingkas bangkit untuk merapatkan kedudukan namun semuanya sudah terlambat. Tapi pada pusingan kedua sudah pasti Fariqe akan mencabar Alif Hamdan kerana umum diketahui catatan masa beliau lebih pantas, tapi kita sudah ketahui Alif Hamdan bukan seorang yang mudah ditewaskan.

Proton 1800 NA

Tidak mustahil kejuaraan ini akan menjadi perebutan mereka berdua iaitu Lau Seng Kiat dan Nicholas Aw. Lau Seng Kiat pada permulaanya di pusingan kelayakan telah mencatatkan masa terpantas namun pertempuran sebenar berlaku ketika lampu hijau dinyalakan. Nicholas Aw telah berjaya menduduki tempat pertama pada saringan pertama dan seterusnya memenangi tempat pertama pada pusingan kali ini. Tidak mustahil Lau Seng Kiat akan bangkit untuk mencabar Nicholas Aw kerana jika dilihat pada on-board video nyata beliau juga antara peserta yang boleh dianggap sangat bahaya, bahaya dalam erti kata yang lain bila-bila masa sahaja mampu merampas kedudukan daripada tangan anda.

SuperStreet

Sekali lagi dominasi jentera 4G63T dalam kategori ini. Nishiram/Ghazi Fawwaz dan Johan/Jaza Jassa telah memberi amaran kepada peserta lain bahawa kedudukan tempat pertama dan kedua milik jentera-jentera bernadikan 4G63T. Tapi yang menjadi tumpuan sudah pastilah pertempuran perebutan tempat pertama melibatkan Nishiram/Ghazi Fawwaz dan JJ Racing Team. Pada permulaannya Johanz/Jaza telah mengungguli tempat pertama pada saringan pertama namun sayang pada saringan penentu mereka gagal mempertahankan tempat pertama apabila mengalami masalah suhu enjin yang naik melampau dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Tidak mustahil pada pusingan kedua ini gandingan adik – beradik pasti mahu merampas kembali tempat pertama ini.

stuned1600
Street Tuned Limited, Street 1600 Limited kategori-kategori yang padat dengan aksi.

Street 1600 Limited

Hazlami/Muslim masih lagi jagoan bagi kategori ini. Mereka cukup pantas, konsisten dan skil yang hebat. Mereka seolah-olah tidak dicabar lagi. Tapi tidak mustahil untuk pusingan kedua mereka akan dicabar lagi. Ada juga satu dua peserta yang pernah menewaskan mereka tidak menyertai pusingan pertama tapi sudah mengesahkan mereka bakal beraksi pusingan kedua nanti dan sudah pasti cabaran ini tidak boleh dipandang sepi oleh gandingan WAKOS GARAGE ini. Namun, jangan sesiapa pandang enteng dengan kemunculan juara Super 1500 NA  2014, Khairi Mohmad. Pertama kali muncul terus menduduki tempat ketiga dan ini sudah cukup memberikan satu isyarat jelas bahawa dominasi 4AGE pasti akan diganggu-gugat.

Street Tuned

Mr.Unstoppable Gan Kim Koa/Philip Tang sememangnya raksasa yang wajar diberi penghormatan tertinggi. Walaupun dengan kehilangan gear 5 mereka masih mendominasi tempat pertama. Meskipun cuba diasak hebat oleh Nazif Othman namun dengan setup yang tepat dan pecutan hebat dari jentera Honda Civic EF 1700cc ini mereka masih lagi mampu menduduki tempat pertama. Tapi awas, ini merupakan pusingan pertama dan amaran awal telah diberikan dari bala tentera Toyota Starlet ini, meskipun tewas tapi mereka telah berupaya memberikan saingan dan kemuncaknya Nazif Othman pada lap ketiga berjaya mendekatkan jarak mereka berdua dengan perbezaan sebanyak 00.032saat sahaja. Pusingan kedua ini mungkin tidak mustahil akan berlaku perubahan takhta.

Race Cars 1600

Percayakah anda kelajuan secara purata tempat ketiga teratas adalah sama. Tapi yang membezakan kedudukan adalah tahap kepekaan mereka untuk mencuri peluang dan konsisten ketika berlumba. Chan Beng Leong/Chang Hai Kiat telah berjaya menduduki tempat pertama. Hasrin Tahir yang mencuba dan terus mencuba untuk merampas tempat pertama telah melakukan sedikit kesilapan kecil dan ini membuatkan gandingan Chan Beng Leong/Chang Hai Kiat menjarakkan diri sebanyak 1saat. Menarik perhatian apabila satu-satunya pelumba perempuan yang berjaya menduduki tempat ketiga adalah Faye Kusairi. Ya beliau juga bersaing hebat untuk menduduki tempat yang baik tapi sayang berlaku kesilapan kecil maka jaraknya beliau dengan Hasrin Tahir semakin menjarak. Sudah pasti mereka yang melakukan kesilapan kecil ini bingkas bangun untuk merampas tempat yang lebih baik.

Race Cars 1800

Sudah pasti Azlan Malik merupakan peserta yang paling kecewa kerana jika diikutkan prestasi saringan pertama beliau merupakan yang terpantas. Saringan penentu sayang sekali apabila telah berlaku kesilapan dan telah menghukum beliau yang terpaksa berpuas hati di tempat keempat walaupun bangkit mencuba dan mencatatkan masa terpantas lagi sekali. S.Ramesh telah berjaya menduduki tempat pertama diikuti Hugo Maverick/Ee Yoong dan Winston masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Sudah pasti pusingan kedua persaingan yang sangat hebat akan tercetus.

RaceCars Open

King Of King for round 1
King Of The King for round 1

Kuasa baru telah menunjukkan bahawa mereka serius dalam merebut piala Profesor Doktor Khalid. Shazul Hisham dari LMC Engineering merangkul tempat pertama. Kemenangan ini mengejutkan ramai pihak kerana ramai menjangkakan Faizal Hassim mahupun Ifwat/Najiy mengungguli tempat pertama. Sayang sekali buat Faizal Hassim kerana terpaksa bersara awal kerana masalah mekanikal pada jenteranya. Pertempuran tempat pertama amat menarik melibatkan Shazul Hisham dan juga Ifwat/Najiy. Kuasa yang ada pada dua jentera ini lebih kurang sama jika dilihatkan pada saringan pertama (rolling start) dan juga saringan penentu (starting grid), namun dengan aerodinamik yang mudah tapi amat berkesan membolehkan Shazul Hisham memecut laju di selekoh dan menjarakkan diri sebanyak 2.729 saat. Tetapi pusingan kedua sudah pasti misi membalas dendam akan tercetus. Race Cars Open pasti ada kejutan lagi. Sama-sama kita nantikan.

Jumpa nanti di Litar Antarabangsa Sepang pada 30-7-2016 untuk pusingan kedua MSF Racing Series Pusingan kedua.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *