HYRAX OIL MSF Racing Pusingan 2 : Terbesar Dalam Sejarah

report1

Pada 30-7-2016 telah berlangsungnya MSF Racing pusingan kedua yang dinanti-nantikan. Pusingan kedua ini juga dikatakan telah membuatkan ramai peserta dari utara tanah air hingga selatan tanah air berpusu-pusu mendaftar. Hasilnya 138 buah kereta telah mendaftar dan seramai 4010 para penonton telah datang menyaksikan pusingan kedua ini. Tidak pernah dalam sejarah penganjuran dari pihak Ignition.my yang disahkan oleh AAM mendapat penyertaan seramai ini. Pusingan ini tidak bermakna jika tidak mendapat sokongan padu Hyrax Oil sebagai penaja utama dan rakan kami F-Tuned Racing Suspension.

Special Kei

Kepantasan Kei-Car tak boleh dipertikaikan lagi. Mohd Hafez dari Guns Ftuned Racing Suspension telah membuktikan mereka sewajarnya digeruni. Pada saringan pertama Ezamin dari Zam Autogarage mendominasi saringan tersebut dengan cemerlang dengan jarak masa yang sangat-sangat selesa iaitu 11 saat. Namun menjelang saringan terakhir, Mohd Hafez mula menunjukkan belangnya apabila mula meninggalkan para peserta lain dengan jarak 8 saat keseluruhan dan mencatatkan masa terpantas 2m47s bagi kategori Special Kei ini. Sayang buat Ezamin walaupun dijangkakan akan menguasai kategori ini terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua setelah mengalami masalah pada jenteranya. Tempat ketiga pula disandang oleh Johari.

Super 1500 NA

Bagaikan membalas dendam gandingan dari Millenium Motorsports Mervin Gregory dan Davy Wong yang memandu Honda Civic EG6 telah menduduki tempat pertama dengan jarak masa yang selesa iaitu sebanyak 7saat. Pusingan kali ini muka lama dalam Super 1500 NA yang agak kurang menyinar pada pusingan pertama kembali bangkit dan bersaing dengan hebat. Gandingan hebat Ahmad Faiz/Aril Hamka dari WAKSAM Garage yang bermula petak agak belakang bermula dengan garang menumpaskan lawan satu demi satu dan terus berentap hebat dengan Keu Sian Shi dari Momentum Auto Garage. Namun Keu Sian Shi berjaya menahan asakan gandingan WAKSAM Garage dengan baik maka beliau berjaya menduduki tempat kedua diikuti Ahmad Faiz/Aril Hamka di tempat ketiga dengan jarak masa 0.142s sahaja!

Saga Cup

report2Kategori yang paling menjadi tumpuan kerana kategori ini menghimpunkan ramai para pelumba profesional tanah air yang kebanyakkannya lahir dari siri perlumbaan Proton Saga keluaran model pertama. Sebanyak 33 buah penyertaan dan sudah pasti persaingan antara Tengku Djan, Fariqe Hairuman, Alif Hamdan, jaguh-jaguh dari Pasir Gudang dan trek lagenda Batu Tiga dan tidak di sangka-sangka penyertaan Boy Wong juga menyebabkan kategori ini menjadi lebih panas dari biasa.

Pusingan kelayakan telah menyaksikan Boy Wong mencatatkan masa terpantas iaitu 2m55s dan ini memberi tekanan pada para peserta yang lain. Namun menjelang saringan pertama bermula, Tengku Djan mendominasi tempat pertama dan diikuti oleh Fariqe Hairuman dan Boy Wong. Menjelang saringan penentu saingan mereka menjadi lebih ekstrem, Tengku Djan pada permulaan diburu hebat oleh mereka berdua ini berjaya menjarakkan diri sebanyak 1 saat. Tempat kedua dan ketiga menjadi perhatian, ada masanya Boy Wong didepan ada masanya Fariqe di hadapan namun rezeki milik Fariqe Hairuman yang berjaya menduduki tempat kedua diikuti oleh Boy Wong. Namun catatan masa mereka bertiga sama dan hanya dibezakan 0.111saat sahaja!

Street 1600 Ltd

Akhirnya dominasi 4AGE berjaya dipecahkan oleh model enjin jentera lain. Gandingan mantap Hazlami/Muslim dari WAKOS Garage sekali lagi mendominasi pada saringan pertama dengan jarak masa antara pihak lawan sebanyak 26saat. Namun sayang, saringan terakhir yang ramai menjangkakan kemenangan mudah bagi gandingan ini telah terlibat dengan kemalangan pada selekoh pertama. Peluang ini diguna sebaik mungkin oleh Sharul Nizam dari SNF’D Workshop yang memandu Nissan Sentra SR16 Neo VVL memintas dan sekaligus menduduki tempat pertama. Akmal Akid dari JMS Tuner yang seolah-olah menyedari rakan sepasukannya turut terlibat dalam kemalangan tersebut juga telah berusaha dan berjaya menduduki tempat kedua dan diikuti tempat ketiga dari gandingan Faiz Sulaiman/ Fadhlan Helmi dari Motor Addict.

Proton 1800 NA

Kemunculan semula Sutan Mustafa dalam kategori ini sememangnya dinantikan. Nicholas Aw pada saringan pertama sekali lagi membuktikan beliau tidak sama sekali akan bertolak ansur dalam persaingan kali ini. Namun segalanya berubah apabila memasuki saringan terakhir. Sutan Mustafa dan Lau Seng Kiat seolah-olah memilih strategi untuk menyerang pada saringan terakhir. Ini terbukti apabila mereka berdua bersaing dengan begitu hebat. Sutan Mustafa berjaya menjarakkan diri sedikit demi sedikit dari sekali berada dihadapan dengan agak selesa jarak masa 2saat. Lau Seng Kiat yang memburu beliau terpaksa berpuas hati di tempat kedua walaupun telah mencuba hingga saat terakhir dan mencatatkan masa terpantas 2m43s. Nicholas Aw terpaksa berpuas hati di tempat ketiga yang dikhabarkan mengalami masalah pada jenteranya.

SuperStreet

Clio Rs in action!
Clio Rs in action!

Pusingan kedua menyaksikan peningkatan penyertaan secara mendadak. Sebanyak 10 buah jentera berentap dalam kategori ini. Dari jagoan SNF Touge Ahmad Farizan Jesni, jagoan MSS Chris Tan dari Pentagon, Ahmad Mamduh jagoan Proton Championship dan menarik perhatian jentera-jentera baru Clio RS dan Mercedes A250 sekaligus menambah rencah dalam kategori ini. Johan Jazza/Jasa Jazza dari JJ Racing Team telah membuktikan mereka masih berkuasa dalam kategori ini. Meskipun dicabar hebat oleh gandingan NishiRam/Ghazi Fawwaz namun gandingan mantap JJ Racing Team ini berjaya memenangi tempat pertama dan dibezakan hanya 1saat. Tempat ketiga disandang oleh Raja Imran dari RIS Autoworks dan dengan kedudukan 3 teratas ini membuktikan jentera 4G63 masih unggul.

Street Tuned Ltd

Buat pertama kali tempat pertama akhirnya menjadi milik dari jentera yang bukan dari keluaran Honda. Hapizu Hussin yang bergandingan dengan Johan Haron Jaafar dari Infinity Speedworks telah berjaya memenangi tempat pertama. Kemenangan gandingan ini sangat diluar jangkaan kerana jika diikutkan catatan masa terpantas milik gandingan Gan Kim Koa/Philip Tan dari JDM Racing. Ternyata dengan jentera bernadikan turbo membolehkan gandingan ini menjauhkan diri secepat yang mungkin dan meskipun cuba dikejar oleh gandingan JDM Racing yang berjaya mencatatkan masa terpantas masih lagi tidak mampu mengejar mereka. Tempat ketiga milik Shafiq Rosli bergandingan bersama Aril Hamka dari Waksam Garage.

RaceCars 1600

Gandingan mantap BMS Racing Lab, Chan Beng Leong/Chang Hai Kiat sekali lagi menggungguli tempat pertama. Saringan pertama amat menarik apabila Faye Kusairi dari Mayhem Motorsports mendahului tempat pertama seketika dgn jarak yang agak memberangsangkan namun nasib tidak menyebelahi beliau kerana masalah jentera memaksa beliau berpuas hati ditempat keempat. Saringan terakhir menyaksikan beliau terpaksa menamatkan saingan lebih awal. Gandingan BMS Racing Lab pada saringan terakhir diasak dengan begitu hebat oleh Ahmad Faizry pada awalnya namun semakin gagah apabila menjarakkan diri dengan sangat selesa dengan sebanyak 7.9saat. Saingan sengit dapat dilihat untuk berebut tempat kedua apabila Soffiz Hardy dari Hardy-Wazi Motorsports mengasak hebat Ahmad Faizry namun dengan pengalaman yang ada pada Ahmad Faizry, beliau berjaya menahan asakan tersebut dan menggungguli tempat kedua dan ketiga milik Soffiz Hardy.

Race Cars 1800

Azlan Malik telah menebus kekecewaannya pada pusingan pertama kerana memenangi tempat pertama dalam kategori ini. Dengan jarak 11 saat sudah cukup membuktikan beliau merupakan suatu kuasa baru dalam kategori ini yang wajib digeruni. Meninggalkan Winston Tan dari JDM Racing dengan jarak sebegitu jauh cukup untuk beliau bersahaja untuk memastikan tempat pertama milik beliau. Tempat ketiga disandang oleh Cy Khoo/Low Kent Junt walaupun pada permulaannya mengasak Winston Tan namun tidak berjaya dan berpuas hati di tempat ketiga.

Race Cars Open

report5

Kemunculan Keifli Othman sememangnya dinantikan kerana ramai yang mahu melihat saingan sengit antara beliau, Shazull Hisham dan Jedi Master Faidzil Alang. Saringan pertama menyaksikan penguasaan Keifli Othman meskipun dicabar hebat oleh Shazull Hisham kerana masing-masing mencatatkan masa 2m25s. Maka saringan terakhir sudah pasti mengundang keterujaan yang tinggi kerana ketiga-ketiga raksasa ini akan bersaing bagi merebut tempat pertama. Keifli Othman sebaik sahaja isyarat perlepasan diberikan terus meluru pantas diekori rapat oleh Shazull Hisham diekori rapat Faidzil Alang. Pada permulaannya Shazull Hisham memberi saingan sengit pada Keifli Othman namun menjelang berbakikan 2 lap terakhir Shazull Hisham mula perlahankan rentak dan peluang diambil sebaiknya oleh Faidzil Alang. Meskipun terus mencuba tempat pertama kekal menjadi milik Keifli Othman dan diikuti Faidzil Alang ditempat kedua dan ketiga milik Shazull Hisham.

 

Pusingan seterusnya adalah pusingan Enduro yang bakal berlangsung pada 16.10.2016. Save the date!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *