MSF Racing Series bakal bermula lebih kurang 53 hari sahaja lagi. Namun persiapan para pejuang hebat MSF telah bermula sejak dari bulan Disember 2016. Ada yang ke sesi private track day, ada yang ke sesi open trackday dan tak kurang juga telah mula menyiapkan jentera perang masing-masing. Ini menunjukkan bahawa musim 2017 akan lebih hangat dan mendebarkan.
1)Tayar Hankook
Penggunaan tayar jenama ini bagi semua kategori sudah pasti membuka satu ruang dimensi baru. Bagi kategori Street Cars setelah setahun menggunakan jenama (ehem no need to mention) kali ini mereka diperkenalkan dengan jenama tayar Hankook Ventus V12 Evo². Setelah dengan berjayanya menjalani sesi cubaan demi cubaan dengan dua buah jentera berlainan kuasakuda (#80 140whp dan #69 200whp) ternyata tayar ini lebih mencengkam dari jenama 2016. Malah dikatakan tayar ini lebih memberi input kepada stereng dan lebih sharp kawalannya.
Menarik perhatian adalah kategori Special Kei, jika selama ini mereka menggunakan tayar semi-slick kali ini mereka akan menunjukkan skil mereka yang hebat dengan menggunakan tayar Hankook RS3. Tayar yang dikatakan antara terbaik untuk Street Tyres UHP. Soalannya apakah mereka mampu mendapat setup yang sesuai dengan penggunaan tayar ini? Siapakah diantara mereka yang akan berjaya memacu jentera mereka untuk menduduki podium.
Bagi Race Cars Open, jika selama ini ada yang menggunakan tayar semi-slick berlainan jenama dan mungkin akan memberi sedikit kelebihan bagi yang mampu namun kali ini dengan menggunakan tayar Hankook Z221 yang amat berkualiti sudah pasti akan membuka ruang dimensi yang baru. 2016 kita menyaksikan 4 orang juara bagi setiap pusingan maka apakah sejarah itu akan berulang?
2) Special Kei
2015 juara milik Abdullah Adil dan terbaru 2016 milik Mohd Hafez. Siapa seterusnya bagi tahun 2017? Apakah akan berubah tangan lagi atau akan kekal ditangan Mycil? Masih lagi samar-samar kerana pusingan pertama belum bermula tapi dengan pengunaan tayar baru ini persaingan sesama mereka akan menjadi lebih menarik dari biasa. Adil dan Hafez telah berjaya mencatatkan masa 2m42s (guna tayar semi-slick) dan dijangkakan akan bersaing dengan hebat. Awas juga dengan Mohd Johari dan Kamal Shukri/Zahid Latif, mereka juga sudah mencatatkan masa 2m4+s. 2017 bagi Special Kei dijangka meriah dan mendebarkan malah dengan penggunaan tayar Hankook RS3 akan mengubah corak pertempuran.
3) Super 1500 NA
Dendam, drama dan pantas pasti menghiasi kategori bagi tahun 2017. Keu Shian Shi suka atau tidak segala tumpuan menghala kepada beliau. Juara yang wajib ditumbangkan dan antara yang sangat bernafsu mahu membenam beliau sudah pasti Mervin Gregory. Rampasan takhta pada pusingan terakhir telah meranapkan impian Mervin Gregory kerana beliau mengalami masalah pada jenteranya. Para pejuang Super 1500 NA juga harus bersiap-siaga dengan kemunculan muka baru Shahril Noorafudin/Shamir Aizan yang menggunakan Daihatsu Gino, ini kerana mereka berjaya mencatatkan masa terpantas pada pusingan akhir baru-baru ini. Susah mahu menjangkakan apa yang berlaku 2017 namun jika inilah coraknya juara mungkin beralih-arah dan sudah pasti drama akan terjadi. Kami dikhabarkan juga kemunculan Jazz Cup yang menjadi Sub-kategori Super 1500 NA non championship dengan kekuatan 10 buah jentera. Apakah benar atau hanya 5-6 buah sahaja? Sama-sama kita nantikan.
4) Street 1600 Ltd
Kejutan pada tahun 2016 sememangnya membuatkan ramai terkejut. Fazli Nazir/Nazreen berjaya menjadi juara bagi tahun 2016 dengan sangat dramatik. Mereka merampas tempat pertama disaat pesaing utama mereka Hazlami/Muslim kecundang pada pusingan akhir. Kekuatan utama Fazli/Nazreen adalah secara konsisten mereka menduduki podium dalam apa jua kedudukan. Dengan menduduki tempat pertama pada pusingan akhir mereka telah berjaya menjadi juara keseluruhan. Apa cerita pada tahun 2017? Mampukah mereka menahan kemaraan Hazlami/Muslim, Afiq Mohd, Faiz Sulaiman dan lain-lain? 2017 juga bakal menyaksikan kemunculan jentera jenama lain dalam misi memecahkan dominasi total 4AGE. Menarik memang amat menarik.
5) SuperStreet
Perubahan peraturan (regulations) yang membenarkan K-Series, B-Series dan F-Series menaikkan kapasiti enjin kepada 2200cc akan membuka satu ruang pertempuran baru. K20 yang terpantas buat masa sekarang masih lagi milik Ahmad Mamduh dengan catatan masa 2m40s. Namun dengan kekuatan kuasakuda yang tinggi dan kelebihan 4wd masih belum cukup untuk menumpaskan jentera Mitsubishi Evo yang mempunyai catatan masa 2m36s. Maka dengan menaikkan CC kepada 2200 mungkin sedikit sebanyak dapat merapatkan jurang yang sedia ada. Berita baik juga buat enjin B-Series, anda boleh memasang turbo pada enjin namun maksimum kepada b18cr sahaja (1800cc) maka mungkin ini membolehkan 4G63 sedikit terancam? 2017 bagi kategori Superstreet sudah pastinya akan mendebarkan.
6) RaceCars 1600
Chan Beng Leong/Chang Hai Kiat juara pada tahun 2016 kerana mereka konsisten menduduki podium. Jadi apa yang menarik? Andai kata Cy Ong/Geraldine terus menyertai MSF Racing 2017 maka sudah pasti kedudukan mereka akan mungkin sedikit tergugat. Gandingan Cy Ong/Geraldine telah mencatatkan masa terpantas dikalangan mereka iaitu 2m44s. 2017 jika kedua-dua gandingan ini menyertai MSF 2017 maka sudah pasti ianya lebih menarik dari 2016.
7) Saga Cup Rocco
Seperti yang sedia maklum kategori Saga dipecahkan kepada dua kategori. Rocco (Novice) dan Ron Jeremy (Pro). Apa yang menarik dalam Saga Cup Rocco? Apakah akan berapi dan saingannya sengit? Jika dilihatkan pada keputusan 2 pusingan terakhir pada tahun 2016 kategori akan memberi kita satu perlumbaan yang hebat. Kebanyakkan mereka yang tergolong dalam kategori Rocco telah pun mencatatkan masa 2m5+s dan ini satu isyarat 2017..ROCCO rock!
8) Saga Cup Ron Jeremy
Dari senarai nama yang kami perolehi kategori ini boleh dikatakan tumpuan MSF Racing. Kategori yang dikatakan menghimpunkan para legenda sukan permotoran tanah air. Dari zaman 80an hinggalah tahun 2000an. Jadi apa yang menariknya tahun 2017? Catatan masa yang sangat pantas 2m51s, dengan tayar yang dikatakan lebih bagus dari yang terdahulu apakah catatan masa 2m49s akan dapat dicapai? Tidak mustahil! Dikhabarkan mereka yang tergolong dalam kategori ini sudah mula menambah-baik jentera mereka dan bagi yang baru pertama kali menyertainya terus-menerus menyiapkan jentera mereka.
9) RaceCars Open
Juara 2016 Pee Sau Peng/Pee Sau Fan sudah pasti akan mempertahankan kejuaraan mereka. Tugas mungkin susah bagi sesetengah orang kerana dalam kategori ramai yang hebat-hebat. Namun percayalah gandingan ini telah membuktikan tiada yang mustahil. Mereka secara konsisten berjaya menggungguli kategori meskipun saingan mereka lebih pantas. Jadi apa yang menariknya? Dari sumber yang kami perolehi rata-rata jagoan dalam kategori sudah mula melakukan proses naik-taraf jentera mereka baik dari segi kuasa hinggalah ke handling.
Pastikan anda mengosongkan tarikh 26.2.2017 untuk datang menyaksikan pusingan pertama MSF Racing Series 2017 di Litar Antarabangsa Sepang.