Kategori yang dikatakan menghimpunkan para legenda sukan permotoran. Pakar sistem suspensi, pakar membina enjin, pakar chasis, pakar kawalan dan paling penting para pelumba yang hebat-hebat. Dari zaman 80an hingga 2000an. Ada yang menyertai untuk suka-suka, ada yang mahu meningkatkan skil perlumbaan, ada yang mahu mengasah bakat, ada yang mahu mengingatkan kembali teknik talaan karburator, ada yang mahu menguji tahap pengetahuan ilmu kawalan terhadap kereta atau jentera yang dikatakan asas segala-galanya.
Kategori yang menerima penyertaan terbesar kira-kira hampir 50 buah jentera semuanya. Aksi mereka amat dinantikan oleh para pengunjung pada setiap pusingan. Sideways, 2 tayar terangkat, terbang, catatan masa yang tak masuk akal dan macam-macam lagi yang membuatkan kategori ini amat dinantikan. Dengan jumlah penyertaan yang agak besar, sebagai penganjur harus juga membuat keputusan agar kategori ini terus relevan untuk disertai. Mengambil kira betapa besar pengorbanan mereka terhadap siri perlumbaan maka kami pecahkan Saga Cup kepada dua iaitu Ron Jeremy (expert) dan Rocco (Novice).
Kriteria Ron Jeremy adalah berdasarkan rekod kemenangan kejohanan Kebangsaan yang pernah mereka menangi. Walaupun anda mungkin sudah lama berehat sambil tengok anak ikan kaloi berenang-renang di dalam kolam akan tetapi disebabkan anda pernah memenangi satu dua kali dalam mana-mana siri kejohanan berstatuskan kebangsaan apatah lagi berstatuskan internasional maka skil anda teramat hebat dan wajib memasuki kategori Ron Jeremy. Alasan “saya sudah berkarat” tidak lagi relevan.
Kriteria Rocco pula bagi mereka yang tidak pernah memenangi langsung mana-mana kejohanan berstatus kebangsaan. Maka mereka ini akan dikategorikan dalam kategori Rocco. Tapi percayalah kategori ini dijangka lebih menarik kerana ada satu dua pelumba perempuan dan salah seorang mereka pernah memenangi podium!
Kita akan huraikan apa yang bakal terjadi dalam masa terdekat. Anda sebagai para penyokong MSF sudah dapat melihat sedikit sebanyak gambaran apa yang bakal laku MSF Racing Series 2017. Semakin hangat dan mendebarkan.
Simpan tarikh ini elok-elok, 26-2-2017 di Litar Antarabangsa Sepang!