Antara sebab pusingan enduro tidak boleh ditinggalkan adalah jurang perbezaan mata yang sangat- sangat rapat. Saga Cup Rocco (Novice) antara kategori dimana pendahulu berada dalam keadaan yang sangat-sangat bahaya. Dua peserta dibawah tunggu masa sesuai memintas jika percaturan dalam pusingan enduro gagal. Satu kekuatannya adalah senantiasa konsisten di podium walau apa pun kedudukan, satu lagi senantiasa di kedudukan top 3 namun satu pusingan kecundang, ada satu lagi yang mula agak perlahan tapi sudah mula mendapatkan rentak dan mula mengekori rapat. Saga Cup Rocco (Novice) satu kategori yang wajib anda semua saksikan.
Syed Rizal #169 dari SMRT sedang mendahului kejuaraan namun kedudukannya sangat tipis. Mengekori rapat adalah Ahmad Faizry #10 dari Loco Racing dan Tan Chaw Wei #522 dari Seng Motorsports. Percayakah anda jarak antara mereka bertiga hanya dibezakan puluhan mata sahaja. Ahmad Faizry sudah pasti berada dalam mood mahu merampas takhta kejuaraan dari tangan Syed Rizal kerana perbezaan mereka hanyalah 5 mata sahaja. Kedudukan mungkin berubah kerana dari sudut rekod pusingan sebelum ini peratusan kecemerlangan memihak Ahmad Faizry. Beliau acap kali menduduki podium top 3 berbanding Syed Rizal cuma nasib tidak begitu baik ada pusingan ketiga baru ini beliau terpaksa menamatkan persaingan dengan lebih awal ekoran berada di tempat dan di masa yang ditakdirkan beliau terlibat dengan kemalangan dan ini membolehkan Syed Rizal menjarakkan mata. Tapi awas, mungkin impian Ahmad Faizry akan terbantut.
Tan Chaw Wei #522 telah menunjukkan satu peningkatan yang sangat ketara. Pusingan pertama menamatkan perlumbaan ditempat ke-10, pusingan kedua pada saringan pertama di tempat pertama namun tidak menamatkan perlumbaan kerana terlibat dengan satu tindakan kontroversi di selekoh 9 apabila melanggar Alif Hamdan dan sekali gus tidak dapat meneruskan perlumbaan, dan pusingan ketiga menduduki tempat pertama bagi kedua-dua saringan. Jika rekod pusingan ketiga diterjemahkan pada pusingan enduro maka Tan Chaw Wei akan merampas takhta kejuaraan dari tangan Syed Rizal dan memusnahkan impian Ahmad Faizry. Tapi ini enduro macam-macam boleh jadi.
Soalnya sekarang siapa gandingan Syed Rizal, siapa gandingan Ahmad Faizry, siapa gandingan Tan Chaw Wei? Gandingan yang mantap akan menterjemahkan kemenangan. Strategi yang tepat dapat membuahkan hasil. Pertempuran antara mereka pada pusingan enduro sudah pasti mendebarkan. Silap langkah kejuaraan yang diimpikan musnah sama sekali. Berjayakah Syed Rizal mengekalkan kejuaraan ini?
Save the date 9/4/2017 di Litar Antarabangsa Sepang.