Kita sekarang berada dalam musim cuti “semester”, 2 bulan kita akan bercuti. Dalam masa 2 bulan ini jugalah ramai para peserta mengambil peluang menenangkan diri dan meningkatkan jentera masing-masing. Sebelum kita menceritakan apa yang bakal terjadi menjelang pusingan kelima mari kita imbas kembali apa yang terjadi pusingan enduro.
#86 dari Smartroleum-ProDrag Kstore Racing Team akhirnya membuktikan kuasa lama masih lagi mampu memenangi kategori Jazz Cup ini. Setelah sekian lama mencuba, pusingan ketiga yang pada mulanya nampak seakan tempat pertama menjadi milik mereka namun sayang mereka terbabas dan berlaku perlanggaran yang menyebabkan mereka mendapat tempat keenam. Menjelang enduro sememangnya kami menjangkakan mungkin akan berlaku perubahan tempat pertama antara #343 dari DK Motorsport dengan #86. Akhirnya ramalan tersebut menjadi kenyataan, #86 Nazrul Hakimi yang bergandingan dengan Shazull Hisham mula mengekori rapat #343 dan menunggu waktu sahaja untuk memintas dan beberapa kali cubaan memintas #343 dilakukan. Akhirnya peluang itu tiba dan #86 berjaya memintas #343 di selekoh kelima dan terus-menerus berada dihadapan. Strategi mereka juga tepat ketika Pit Window dibuka dan sekali lagi berada dihadapan dengan jarak masa yang sangat selesa iaitu 36 saat berada dihadapan. Kemenangan ini sudah pasti manis buat #86 sejak kebelakangan ini kurang menyerlah yang mungkin masih seronok memikirkan kejayaan lalu.
#343 dari sudut pungutan mata kejuaraan berada jauh dihadapan, berada di tempat kedua pusingan enduro tidak merencatkan perjalanan mereka untuk selangkah lagi menjadi juara, malah berada ditempat kedua juga cukup menjarakkan diri dari #146 Flex Racing Team dengan beza sebanyak 240 mata. Soalannya, apakah #343 akan berdiam diri sahaja menjelang pusingan kelima nanti? Apakah strategi baru yang bakal diguna? Berbaki dua pusingan lagi #343 sudah pasti mahu mencipta sejarah dan barangkali mahu merampas kembali tempat pertama dari tangan #86. Perhatikan juga jurang antara tempat kedua dan ketiga. Perebutan tempat kedua masih lagi terbuka luas dan mungkin tempat pertama boleh diganggu-gugat. Soalannya bagaimana perkara ini boleh terjadi?
Kita akan ulas lebih lanjut kategori Jazz Cup sedikit masa lagi terutamanya menjelang pusingan kelima dan menceritakan apakah senario yang bakal terjadi. Siap-sedia pusingan kelima 15/10/2017.