Bermula agak perlahan, namun bingkas bangkit dan kali ini boleh dikatakan terpantas dalam kategori Saga Cup Novice dan sedang menghidu bau kejuaraan yang semakin hampir dalam dakapan. Tan Chaw Wei #522 dari Seng Motorsports jika semuanya berjalan lancar boleh menyambut kemenangan sekaligus menjadi juara keseluruhan bagi kategori Saga Cup Novice musim 2017.
#522 boleh dikatakan dalam misi yang mungkin agar sedikit sukar. Kenapa? Perbezaan beliau dengan Ahmad Faizry #10 dari Loco Racing Team hanyalah 145 mata sahaja. Kategori Saga Cup Novice merupakan satu kategori yang paling ramai penyertaannya. Secara purata 30 kereta bagi setiap pusingan. Segala macam kemungkinan boleh terjadi. #522 harus pastikan beliau tidak terlibat dengan aktiviti membajak (terbabas) di mana-mana selekoh bagi setiap saringan dan menyebabkan beliau terpaksa menduduki tempat ke-9 dan jika #10 terus-menerus menduduki tempat ke-2, maka kejuaraan mungkin boleh beralih tangan. #10 boleh menjadi juara dengan perbezaan sebanyak 5 mata sahaja!
#10 juga harus berhati-hati, dalam misi memburu kejuaraan beliau juga diancam untuk dirampas kedudukan tempat kedua dalam kejuaraan. Mengekori rapat adalah #169 Syed Rizal dari SMRT. Beza antara mereka adalah sebanyak 185 mata. Ya, agak jauh dan andaikata #169 berjaya menduduki tempat kedua dan #10 hatta menduduki tempat ke-11 sekalipun, tempat kedua masih digenggam erat dengan jarak 5 mata sahaja. Tapi awas, bertanding dalam kategori paling ramai dalam MSF dan berentap dengan 2 kategori yang lain dalam satu kumpulan macam-macam boleh terjadi. Ini bukan perlumbaan 20-30 kereta, 4jam atau 4000km, ini perlumbaan melibatkan 55 buah kereta, 2 saringan, dan 5 laps sahaja. Macam-macam boleh terjadi. Nasib dan skil anda menentukan segala-galanya. #10 tidak boleh sama sekali menduduki tempat ke-12 dan seterusnya bagi kedua-dua saringan ini kerana andai kata #169 menduduki tempat kedua maka #169 boleh menduduki tempat kedua kejuaraan dengan jarak 10 mata sahaja.
Sepertimana yang selalu diberitahu, selagi mana kibaran bendera hitam putih tidak kelihatan selagi itulah kejuaraan masih terbuka. Walaupun agak tipis jangan sesekali berputus-asa. Mampukah #10 Ahmad Faizry berjaya merampas kejuaraan yang agak sukar itu? Apakah strategi beliau? Dan mampukah #522 Tan Chaw Wei berjaya mempertahankan kedudukan tempat pertama sekaligus menjadi juara keseluruhan yang semakin hampir dalam dakapannya?
Save the date 2 dan 3/12/2017! Bersiap – sedia untuk pertempuran akhir yang bakal dilangsungkan di Litar Sepang. Grandstand adalah percuma!