Kejuaraan Segala Kejuaraan, Mampukah Akid Terus Bertahan?

 

Tiba masanya kejuaraan yang amat dinanti-nantikan. Tiada ruang kesilapan, tiada ruang untuk terus menyerah-kalah, tiada ruang untuk menyalahkan orang lain. Pahlawan sejati akan merangkul kejuaraan yang paling tertinggi penghormatannya. Race Cars Open, Piala Professor Doktor Khalid akan menjadi milik siapa?

Ahmad Akid #500 dari Sitty-DNT terus-terang bukan dikatakan dalam radar calon sebagai juara. Semua tertumpu kepada Keifli Othman, Faidzil Alang, Mark Darwin, Shazull Hisham dan beberapa nama lagi. Namun dengan langkah tenang, konsisten, hebat, diam, tidak menonjol di dalam laman sosial, satu persatu “musuh” dilenyapkan. Saingan paling hebat yang beliau hadapi dari Keifli Othman, berjaya ditepis pada pusingan ke-5 baru-baru ini. Beliau tidak menewaskan mereka dengan sejumlah jarak masa umpama langit dan bumi, tidak. Tapi cukup hanya sekadar menduduki podium dan lawan mereka sebenarnya kecundang dengan sendirinya.

Menjelang pusingan akhir ini, Akid telah mendahului senarai kejuaraan dengan pungutan mata 1085. Pencabar terdekat adalah “musuh” baru beliau iaitu Shazull Hisham dari Smartroluem-Evotec Autoparts #440 yang mencatatkan jumlah mata 1015. Beza antara mereka hanyalah 70 mata sahaja. Rapat, tipis dan sudah pasti menjelang pusingan akhir ini sangat tengang bagi kedua-dua kem.

Dari atas kertas nampak kelebihan memihak kepada Shazull Hisham. Dengan catatan terpantas 2m22s, sudah cukup menggambarkan betap sukarnya perjalanan Akid untuk kekal berada di tempat pertama kejuaraan. Namun, Shazull juga pernah kecundang pada pusingan ke-3 apabila gagal sama sekali menamatkan perlumbaan akibat masalah mekanikal. Jadi apakah kemungkinan bagi kedua-dua peserta ini muncul juara keseluruhan dan menjadi Juara Segala Juara.

Senario bagi Akid dan Shazull :

  • Andai kata Shazull menduduki tempat pertama bagi kedua-dua saringan dan skor markah penuh, cukup bagi Akid menduduki tempat kedua bagi kedua-dua saringan untuk muncul juara.
  • Andai kata Shazull menduduki tempat kedua bagi kedua-dua saringan, cukup sekadar Akid menduduki tempat keempat bagi kedua – dua saringan untuk muncul juara.
  • Akan tetapi Shazull boleh jadi juara, apabila Akid menduduki tempat ke-5 bagi kedua-dua saringan.

Situasi jika dilihat tidak begitu memihak kepada Shazull kalau dari dilihat logik akal. Mungkin disini bantuan rakan sepasukan amat diperlukan oleh Shazull untuk memastikan Akid berada tiga kedudukan belakang beliau. Shamir Aizan dari Smartroluem-Prodrag Evotec #404, persoalannya apakah beliau akan membantu untuk memastikan Shazull selamat dalam memburu kejuaraan pertama.

Tapi apakah Akid tiada rakan sepasukan. Harus diingat, Akid mempunyai rakan sepasukan yang hebat iaitu Mark Darwin #550. Mark Darwin antara calon juara untuk kategori ini, namun gagal kerana masalah mekanikal yang acap kali beliau hadapi. Apakah Mark Darwin akan membantu Akid?

Tegang dan sangat tegang. Buat pertama kalinya kita mungkin dapat menyaksikan strategi pasukan bagi menentukan siapakah juaranya.

Mampukah Akid menjadi juara termuda dalam kategori yang sangat panas dan Juara Segala Juara ini? Mampukah Shazull menjadi juara? Selagi mana bendera hitam putih tidak kelihatan selagi itulah kejuaraan masih terbuka luas.

Save the date 2 dan 3/12/2017! Bersiap – sedia untuk pertempuran akhir yang bakal dilangsungkan di Litar Sepang. Grandstand adalah percuma!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *