Malaysia Speed Festival telah mencatatkan satu sejarah baru dalam sejarahnya apabila berjaya menghimpunkan 620 buah kenderaan. Pecahan daripada 630 buah kenderaan ini adalah 210 buah kereta lumba MSF Superturismo, 80 buah motorsikal lumba MSF Superbikes, 30 buah kereta drift MSF Drift Gonzo dan 300 buah kereta dari kelab kereta. Malah kehadiran mencecah hampir 10,000 penonton sudah cukup menggambarkan betapa meriahnya Malaysia Speed Festival Merdeka Enduro 2018. Terima kasih juga pada para penaja Petronas Primax, TOC, Hankook Tyres, Ktech dan Fawster kerana turut memeriahkan acara ini. Tak lupa buat Honda Global Amity Bangi kerana turut menyediakan kereta Safety, Medical dan Pace untuk kegunaan pada hari perlumbaan baru – baru ini.
MSF Drift Gonzo
MSF Drift Gonzo adalah satu acara drift yang berlainan coraknya dimana setiap para peserta harus mendapatkan pungutan mata dengan melanggar setiap objek yang diberikan. Ada 3 kategori dipertandingkan iaitu Super 1600, Street dan Pro comp. Bagi kategori Procomp telah dimenangi tempat pertama Jack Tan, ditempat kedua Tan Hang Eng dan ketiga Lim Cheng Ho. Menarik drift gonzo adalah dimana bagi yang mengumpul mata terbanyak bagi 4 kedudukan atas akan melalui satu pusingan istimewa dimana semuanya akan berpeluang memenangi gelaran Gonzo King. Lee Mun Hoong untuk sesi pungutan mata dan kedudukan podium hanya sekadar menduduki tempat keempat. Namun pada pusingan istimewa ini beliau yang berentap Seah Swee Leng yang menggantikan Lim Cheng Ho telah berjaya menumpaskan Seah Swee Leng dan membawa pulang gelaran Gonzo King.
Racecars Open
Pasukan Evotec sekali lagi menunjukkan penguasaan pada tahun kedua untuk pusingan enduro tahun ini. Pada tahun 2017 mereka memenanginya pada tahun ini sekali mereka memenanginya dengan begitu menyakinkan. Meskipun pada saat perlumbaan bermula, kategori ini dikuasainya sepenuhnya Weekaraj Dokchan dari Thailand yang bergandingan dengan Mohd Yuzaidi dari Malaysia yang menggunakan jentera Mitsubishi Evo 9 diimport khas dari Thailand. Lap demi lap gandingan ini mula menjarakkan diri sementera diekori rapat oleh Karamjit Singh yang bergandingan dengan Alif Hamdan yang menggunakan Proton Satria 4WD.
Menjelang beberapa minit sebelum pit dibuka untuk sesi penukaran pemandu kedua, gandingan Mitsubishi Evo ini mula mengalami masalah suhu enjin dan sekaligus memaksa mereka memperlahankan kereta. Peluang ini diambil sebaik mungkin gandingan Proton Satria ini untuk memintas. Sementara itu Evotec yang menggunakan Honda civic EK9 K24 bersaing hebat dengan Akid Azlee yang bergandingan dengan Mark Darwin yang menggunakan Honda civic FD2R K24, namun gandingan dari Sitty Racing ini juga menghadapi masalah dan memberi peluang kepada Shazull Hisham dan Hafiz Bachok dari Evotec memintas.
Apabila kesemua mereka mula memasuki pit, jentera dari Thailand terpaksa merendahkan suhu enjin selama 4 minit, gandingan mantap Karamjit Singh dan Alif Hamdan pula terpaksa menamatkan perlumbaan apabila jentera mereka mengalami kerosakan sebaik sahaja keluar dari pit. Maka peluang sebaik ini diambil Shazull/Hafiz dari Evotec keluar dari pit dan sekaligus muncul juara Enduro bagi kategori paling ekstrem ini iaitu Racecars Open. “Satu kemenangan yang amat bermakna, kami sememangnya tidak menala enjin ini seperti pusingan sebelumnya kerana yakin dengan strategi ini akan mendatangkan hasil dan dengan strategi pasukan akhirnya membuahkan hasil untuk kemenangan dua tahun berturut-turut,” ujar Shazull Hisham yang amat berpuas hati dengan kemenangan bergaya ini.
MSF Superbikes Super 1000 Group A
Pertempuran dramatik antara Azwan Malek dengan Ahmad Khan sudah dijangkakan. Ini sudah dapat diduga apabila pada sesi kelayakan kedua mereka ini saling bertukar kedudukan. Ahmad Khan pada permulaan sesi kelayakan mencatatkan masa 2m17s menjelang lagi 5 minit terakhir Azwan Malek membuat kejuatan dengan mencatatkan masa 2m16s. Apabila melihat kedudukan yang sering bertukar tempat maka pertempuran melibatkan mereka berdua dijangka sengit.
Saringan pertama, pertempuran yang dinantikan akhirnya terjadi. Azwan Malek meluru pantas menuju ke selekoh pertama manakala Ahmad Khan berjaya mengekori Azwan Malek. Menjelang lap yang ke3 Ahmad Khan berjaya memintas Azwan Malek dan mula sedikit demi sedikit menjarakkan kedua tetapi menuju ke selekoh ke 8 Ahmad Khan yang mungkin mengalami masalah tayar terjatuh dan peluang ini diambil dengan tenang Azwan Malek untuk memenangi tempat pertama bagi saringan pertama.
Menjelang saringan penentu kemenangan, Ahmad Khan yang kembali kali ini terpaksa bermula di petak belakang meluncur pantas untuk memastikan Azwan Malek tidak terlepas jauh. Menjelang lap yang ke-3 akhirnya Ahmad Khan sudah berjaya merapatkan kedudukan. Tanpa disangka-sangka Azwan Malek telah menyerahkan tempat pertama dengan sebarang persaingan hanya kerana motorsikalnya mengalami sedikit masalah dan terpaksa berundur dari pertempuran yang dijangka dramatik hingga penghujungnya, dan ini bermakna saringan terakhir ini menjadi milik Ahmad Khan diikuti tempat kedua Muhammad Fazli Mansuar.
Malaysia Speed Festival pusingan kelima bakal berlangsung pada 14 Oktober dan sudah pasti dijangkakan aksi yang lebih padu dan sengit kerana sudah pasti saingan merebut kejuaraan ini akan menjadi lebih hangat.