Buat mereka yang berada di sekitar Litar Sepang, Dengkil, Bandar Baru Bangi, Nilai dan sekitarnya, pastikan anda mengosongkan tarikh ini iaitu 15, 16 dan 17 Mac untuk menyaksikan Asia GT Festival (MSF + China GT). Dengan harga tiket semurah RM20.00 di grandstand atau RM50 untuk 3 hari, RM35.00 di South Paddock atau RM50.00 bagi dua hari perlumbaan (16 dan 17) di South Paddock, ianya akan memberikan satu pengalaman yang tidak boleh anda lupakan sama sekali. Untuk membeli tiket boleh juga beli pada hari acara.
Kekuatan seimbang, peraturan yang tidak memungkin mereka melakukan modifikasi yang tinggi, namun ketahanan enjin dan gear ratio yang menjadi senjata utama bagi mereka ini. Mereka tetap akan berlumba dengan menggunakan sistem suspensi yang sangat kualiti tinggi bukannya main agak-agak, pengukuhan chasis yang sangat optimum kerana untuk memastikan mereka dapat meluncur laju di selekoh-selekoh yang ada di litar Sepang. Jarang sekali kita dapat melihat enjin bagi kategori ini rosak dipertengahan jalan kerana kreativiti mereka berada dalam kelas tersendiri dan kualiti binaan enjin di tahap terbaik. Hasilnya? 2m40s dengan menggunakan tayar Hankook RS4. Pantas? Ya sangat pantas!
Desmond Yee #9 dari N1 Racing Team merupakan juara keseluruhan bagi kategori ini. Soalan utama, mampukah beliau mempertahankan kejuaraan? #52 Soffiz/Wan Ahmad Farouk, #452 Syahmi/Syah Rizal, dan #905 Adam Khalid/Cy Ong. Inilah pesaing utama bagi #9. #59 merupakan peserta yang sangat konsisten berada diatas podium manakala #452 hanya satu pusingan sahaja gagal menamatkan perlumbaan. Hasilnya mereka mengekori rapat #9. #905 sayang sekali sebanyak dua pusingan gagal menamatkan perlumbaan, namun bermula pada pusingan ke-4 hingga pusingan akhir kita dapat menyaksikan penguasaan secara total dengan memenangi tempat pertama.
Ini jelas memberikan satu isyarat buat Desmond Yee #9, tahun 2019 mungkin pertempuran ini akan menjadi lebih sengit dari sebelumnya. Dari pihak MSF, kami menjangkakan pertempuran antara #9 dan #905. Kenapa? Adam Khalid pelumba muda yang semakin menaik dan bergandingan dengan Cy Ong, seorang pelumba yang berpengalaman luas dan pernah menyertai Racecar Open pada zaman SNF dan pernah menduduki podium. Jadi bukan calang-calang. Malah ada satu berita yang baru kami terima, anak kepada pelumba lagenda negara Alex Yoong, Alister Yoong memandu #910 juga akan turut serta dalam “perang” MSF 1600 Ultimate!
Jangan sibuk nak merancang kemana-mana. Simpan tarikh 16-3-2019 jika anda mahu menyaksikan pertempuran MSF 1600 Ultimate nanti di Litar Sepang!