Buat mereka yang berada di sekitar Litar Sepang, Dengkil, Bandar Baru Bangi, Nilai dan sekitarnya, pastikan anda mengosongkan tarikh ini iaitu 15, 16 dan 17 Mac untuk menyaksikan Asia GT Festival (MSF + China GT). Dengan harga tiket semurah RM20.00 di grandstand atau RM50 untuk 3 hari, RM35.00 di South Paddock atau RM50.00 bagi dua hari perlumbaan (16 dan 17) di South Paddock, ianya akan memberikan satu pengalaman yang tidak boleh anda lupakan sama sekali. Untuk membeli tiket boleh juga beli pada hari acara.
Dalam sejarah negara kita banyak wanita-wanita yang menggegarkan bumi bertuah ini. Kita ada Samsiah Fakeh, Tun Fatimah, Dr.Wan Azizah, Nicole David dan ramai lagi. Mereka ini punya sejarah tersendiri dan berani kehadapan untuk memberitahu dunia, kami juga mampu! MSF Sagacup kita mewujudkan satu kategori bonus yang bersifat non-championship. Atau bahasa mudahnya trofi bonus bagi mereka yang bergandingan dengan pelumba perempuan ataupun pelumba perempuan berseorangan.
Bermula pada tahun 2016 hingga 2018 MSF merekodkan hampir 20 orang pelumba perempuan yang hebat. Tahun ini dengan wujudnya kategori bonus ini, kita dimaklumkan ramai pelumba wanita semakin berkobar-kobar turut bertempur MSF tahun ini. Antaranya Boey, Husna, Jane, Umi, Sharina Ramle, Shena Sharma yang sudah mendaftar pusingan pertama. Penghormatan tertinggi buat mereka ini kerana berani bertempur “menghayunkan pedang” (baca : memulas stereng) kiri dan kanan dihimpit kiri, kanan, depan dan belakang, di potong dan memotong kembali, adalah satu tindakan pemberani dan hebat. Mereka ini wajar diberikan penghormatan tertinggi kerana tak ramai yang berani bertempur secara berdepan sebegini coraknya.
Sharina Ramle #819 : “Dulu saya berlumba dalam kategori Street Tuned dan ditemani suami saya. Tahun ini dicabar untuk berlumba dalam kategori Sagacup. Kita tahu kategori yang paling havoc, 70 buah kereta, tiada belas kasihan, sudah pasti menggerunkan dalam hati. Bohong tak gerun. Tapi kena cabar diri sendiri, saya ada sasaran, habiskan perlumbaan, dan akan cuba bawa balik trofi bonus ini. Bila MSF mewujudkan kategori bonus ini, ianya satu langkah yang amat tepat. Menggalakkan lagi ramai pelumba perempuan dan platform awal untuk mereka melangkah lagi jauh.”
Husna #712 : “Sesuatu yang sememangnya saya hendak lakukan. Jangan sesekali pandang rendah dengan pelumba perempuan terutama apabila bertempur sesama sendiri. Pasti ianya sesuatu yang menyeronokkan! Mewujudkan kategori bonus merupakan satu langkah yang bagus bagi mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan dunia perlumbaan sebenar. Saya yakin ianya dapat mengurangkan perasaan gementar sebab mereka selalu merasakan bersaing dengan kaum lelaki adalah sesuatu yang menakutkan. Jadi satu inisiatif yang sangat bagus.”
Bagi kaum perempuan diluar sana, inilah peluang untuk anda melihat dengan lebih mereka yang berani bertempur beramai-ramai. Inilah pelumba wanita yang wajar diberikan penghormatan tertinggi. Jangan kemana-kemana, simpan tarikh ini 17/3/2019 di Litar Sepang.