Buat mereka yang berada di sekitar Litar Sepang, Dengkil, Bandar Baru Bangi, Nilai dan sekitarnya, pastikan anda mengosongkan tarikh ini iaitu 16 dan 17 Mac untuk menyaksikan Asia GT Festival (MSF + China GT). Dengan harga tiket semurah RM20.00 di grandstand atau RM50 untuk 3 hari, RM35.00 di South Paddock atau RM50.00 bagi dua hari perlumbaan (16 dan 17) di South Paddock, ianya akan memberikan satu pengalaman yang tidak boleh anda lupakan sama sekali. Untuk membeli tiket boleh juga beli pada hari acara.
Anda nak tengok kepandaian dan kekreatifan mekanik, kepantasan, kuasa kuda yang sangat menggila, aerodinamik yang mencengkam, dan deruman ekzos yang menggegar, inilah kategorinya. Kategori segala teknologi di tahap tertinggi dan tiada batasnya. Kategori dimana bengkel terbaik di dalam negara kita berhimpun menghasilkan satu jentera yang paling padu dan paling penting, untuk menjadi KING OF MSF! Menakluk kategori ini bermakna anda menakluk seluruh MSF!
Juara bertahan #500 Akid/Mark Darwin dari Sitty Racing Team ada sebahagian peminat menggelarkan mereka Giant Killer, The Ant mengesahkan untuk mempertahankan kejuaraan yang sudah dipegang selama 2 tahun berturut-turut. Kepantasan yang sangat luar biasa, catatan masa 2m18s terpantas dalam sejarah MSF tiada siapa lagi yang mampu memecahkannya. K24, 300whp, Honda EG6, aerodinamik yang mantap, konsisten, habis semua pusingan perlumbaan, podium tempat pertama seolah-olah amat sukar melepaskan mereka. #500 Juara MSF Masters!
Baik siapa pencabar mereka? #29 Faidzil Alang Honda EG6 Turbo, #50 Azlan Malik dikhabarkan tukar model kereta kepada Honda EG6 K24, #21 (dulu #158) Alif Hamdan Proton Satria Turbo 4wd, #13 Shazul Hisham yang turut beralih model Honda EG6 K24. Ini pencabar pada tahun 2018. 2019 dikhabarkan semuanya sudah tidak sabar mahu bertempur dan menjadi terpantas dan menduduki tempat pertama dalam pusingan pertama ini. Berjaya? Sangat-sangat sukar untuk diramalkan. Kesemuanya hebat-hebat belaka. Nama-nama yang disebut ini kesemuanya ada rekod tersendiri. Semuanya pernah muncul juara. Best of the best. Tapi berani dikatakan, #500 adalah sasarannya. Rekod 2m18s ini yang cuba dirobekkan. Mereka yang bersaing boleh berikan apa sahaja alasan tapi penonton tahu, mereka mahu menjadi terpantas di dalam Malaysia!
Bersiap-sedia Malaysia, 17/3/2019 pertempuran teragung, terhebat, terpantas dan menggegarkan akan berlangsung. Jumpa anda nanti di Litar Sepang!