Hampir sebulan lebih kita berehat, kami mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri Maaf Zahir dan Batin buat semua. Jika anda membaca artikel ini, bermakna kompang “perang” akan dipalu. Ini bermakna panggilan rasmi buat pahlawan-pahlawan MSF untuk bersiap-sedia pertempuran seterusnya. Api yang direhatkan kini harus dinyalakan. Tujuannya hanya satu, untuk melihat kompang siapa paling padu dan terbukti dan kompang mana yang sekadar kompang tapi layu dek penangan ketupat palas.
Pusingan kali ini persiapan sebelum menjelang pusingan enduro 45 minit pada bulan Ogos nanti. Pusingan kali ini juga pusingan melebarkan jarak pungutan mata bagi setiap kategori dipertandingkan baik MSF Superturismo mahupun MSF Superbikes. Ini amat penting untuk memastikan mereka selesa menjelang pusingan penentu kejuaraan nanti.
Bagi MSF Superturismo ada beberapa kategori yang kita akan ulas nanti. Ternyata persaingan bagi kategori-kategori tertentu suhunya semakin meningkat naik. Ada yang perlu bertahan sekurang-kurang ditempat ketiga sebelum menjelang pusingan terbesar MSF Superturismo itu sendiri. Ada yang mahu membalas dendam kerana tak dapat buat masa terpantas dan memenangi tempat pertama. Ada yang mahu meneruskan legasi NA di kategori yang mana jentera turbo sudah mula memacakkan bendera kemenangan untuk dua pusingan berturut-turut sekaligus menimbulkan kegentaran, kerisauan bakal peserta lain yang kira-kira mahu menyertainya tahun ini.
Bagi MSF Superbikes, kategori baru Toyo Super Rookie harus diberi perhatian. Super 400, pertempuran yang sangat menarik meskipun ada yang kita tahu simpan “power”. Super 1000 masih lagi samar-samar tapi coraknya sudah boleh mula diagak. MSF Superbikes bukan semata siapa yang menang sahaja bagi mata penonton, tapi aksi pintas-memintas itu membuatkan ramai yang ternanti-nantikan aksi menggila ini. Kita akan ulas kategori mana yang dijangka persaingannya sengit.
Anda sudah teruja, sudah tidak sabar, tisu ada ditepi anda? Ya kami juga. Malaysia, kosongkan tarikh 7-7-2019. Jumpa anda nanti di Litar Antarabangsa Sepang! Tiket? RM35.00 sahaja untuk semua akses.
Hafeeez
How to buy the ticket…. And are the RM35 for all categories
Mohd Zahrin Mohd Zahran
u can buy ticket during event day. And yes RM35.00 for all access. Bikes and cars.