Sesungguhnya mencari bakat baru dalam dunia perlumbaan sebenarnya tidak susah. Hanya memerlukan sedikit usaha dan sokongan. Baik dari penganjur, peserta yang ingin mencuba dan juga penaja. Kategori ini amat beruntung kerana mendapat sokongan padu dari penaja Toyo Lubricants yang sememangnya mahu melihat bakat baru yang ada di dalam negara melonjak naik.
Ekoran itu kategori mula mendapat penyertaan yang menggalakkan. Persaingan? Sudah pasti sengit. Kelajuan dan kepantasan mereka lebih kurang sama sahaja terutamanya yang berada di kelompok Top 3. Tapi yang menjadi perhatian sekarang ini adalah perebutan kejuaraan yang julung kalinya bagi kategori ini. Siapakah yang mampu menjulang kejuaraan ini? Buat masa sekarang yang menggigit tampuk kejuaraan buat sementara waktu adalah #151 Kieran Ng dari BA Tuning. Walaupun agak selesa berada di hadapan dari sudut pungutan mata dengan perbezaan mata sebanyak 120 mata dengan pencabar terdekat #769 Chin Ming Chun dari Motormatic. Namun untuk terus mengigit kejuaraan ini #151 harus menduduki tempat pertama untuk memastikan kejuaraan yang dipegang buat sementara waktu ini mempunyai bekalan sedikit selesa.
Dari atas kertas berkemungkinan tidak mustahil #151 mungkin bakal menggenggam takhta kejuaraan Toyo Super Rookie ini. Namun apakah ianya begitu mudah? Dalam setiap pesta pasti ada yang akan tiba-tiba menjadi tarzan di atas meja. Mungkin pengganggu pesta #151 yang membuatkan beliau resah adalah Amos Lim #305. Pada pusingan terdahulu beliau berjaya menduduki tempat kedua. Mungkin inilah yang dikatakan pengganggu pesta atau parti #151 menjelang pusingan khas ini. Kelajuan lebih kurang sama dan konsistensi lap mereka juga hampir sama. Andai kata #151 membuat sediki kesilapan ya, pesta kejuaraan ini terpaksa dilanjutkan pada pusingan akhir nanti. Jadi buat #769, beliau harus berharap untuk #305 menduduki tempat pertama dan beliau sendiri harus meningkatkan prestasi dan ritma di setiap lap untuk memastikan kejuaraan ini boleh dihidu lagi menjelang pusingan akhir nanti dan dengan syarat, wajib Top 3! Tapi awas, jangan terlampau ghairah kerana kedudukan tempat kedua juga tidak selamat buat #769, mengekori sangat-sangat rapat adalah #898 Kenneth Chan dari ICR SPARTAN. Beliau juga mampu menjadi juara jika apa yang diinginkan #769 terjadi padanya dan dengan syarat harus berada di atas #769. Ini syarat wajib buat beliau.
Agak serabut tapi itulah keseronokan pesta Toyo Super Rookie. Soalannya, mampukah #151 melangkah jauh atau terpaksa menentukan kejuaraan di pusingan akhir kelak? Jawapan dia jom ke Litar Sepang pada 31 Ogos 2019.