Konsisten, laju, senantiasa mengumpul mata penuh. Tiada langsung cabaran menggerunkan yang mampu menggugat sedikit pun #806. Satu sahaja langkah, satu sahaja lagi kemenangan, kejuaraan musim 2019 bakal menjadi milik beliau.
#806 kendalian Fahrizal Hassan bagi yang mungkin tidak mengenali beliau boleh dikatakan seorang pelumba hebat, sekarang ini pada bila-bila masa sahaja bakal menjadi juara keseluruhan bagi musim 2019 ini. Dengan konsistensi yang ada, dengan jentera yang langsung tiada masalah, terpantas dalam kategori dengan kombo tayar Hankook RS4, RWD, dan terpantas buat masa sekarang adalah tidak mustahil muncul juara. Syarat? Pusingan ini wajib menduduki tempat pertama dan mengumpul sebanyak mana mata kejuaraan yang diberi. Jika berjaya, maka kejuaraan akan menjadi milik #806. Pusingan akhir walaupun #806 tidak muncul sekali pun, juara tetap juara. Akan tetapi jika menduduki tempat ketiga walaupun amat mustahil, maka kejuaraan akan ditentukan pada pusingan akhir meskipun dijangka bakal memihak kepada beliau.
Apakah langsung tiada harapan buat pencabar lain? Ya ada, tapi jika dilihat dari atas kertas agak tipis. Kenapa tipis? Seperti yang diberitahu dengan konsistensi yang ada amat sukar. Pencabar terhampir #64 Jusri Rusli/Khairul Nizam yang turut menggunakan Toyota GT86, beza pungutan mata yang sangat jauh iaitu sebanyak 325 mata. Memang sudah dilihat amat sukar tapi ada dua harapan yang mereka harus harapkan. Yang pertama, mereka harus memenangi tempat pertama dan mengharapkan #806 tamat ditempat ketiga dan harapan paling kejam tetapi itu normal dalam dunia perlumbaan adalah mengharapkan #806 tidak berjaya menamatkan perlumbaan. Yang kedua adalah mengharapkan #806 menduduki tempat kelapan bagi pusingan ini dan pusingan akhir nanti. Apakah mustahil? Atas kertas mustahil tetapi dalam dunia sebenar tidak mustahil meskipun peluang tersebut amat tipis.
Mampukah #806 menjadi juara edisi 2019? Mampukah harapan tipis #64 menjadi kenyataan? Jawapannya ada pada 13 Oktober 2019 di Litar Sepang. Harga tiket RM35.00 sahaja.