Kategori khas buat jenama Proton, menggunakan enjin 4G93, dengan rpm yang tidak tentu arah kerana penggunaan racing camshaft yang menghasilkan bunyi muzik bagi telinga peminat enjin ini. Dengan kombo penggunaan tayar Hankook RS4, catatan masa bagi enjin yang dari sudut barang prestasinya tidak sebanyak jenama lain amat menakjubkan.
Lau Seng Kiat dari RaceManiac #112 sedang memburu hatrik. Disaat pada awal pusingan seolah-olah mungkin kejuaraan yang disandang 2 tahun berturut-turut itu akan dilepaskan kepada orang lain. Tapi menjelang beberapa pusingan dan penentu kejuaraan iaitu pusingan enduro beliau bangkit kembali untuk merampas takhta kejuaraan yang disandang agak lama oleh #16 Alban Raymond dari Millenium Motorsports Asia juga merupakan peserta program mentor bersama Proton R3. Bagi #112 sebenarnya beliau bakal menerima ancaman bukan satu tapi dua orang peserta. Jadi untuk memastikan kejuaraan dan juga misi hatrik ini berjaya beliau suka atau tidak dan wajib memenangi tempat pertama bagi pusingan kali ini. Dengan cara ini membolehkan lebar kejuaraan ini bertambah jauh dan menjelang pusingan akhir cukup sekadar menduduki tempat ketiga.
Akan tetapi mudahkah? Berdasarkan pusingan enduro baru-baru ini, beliau akan menghadapi tentangan paling hebat. Seorang pelumba yang juga punya pengalaman yang luas, K.Perajun #140 yang menggunakan Proton Wira dari DV Motorsports sudah melaungkan amaran bahawa kejuaraan ini juga turut diintai oleh beliau. Ya, beliau hanya berjaya menduduki tempat kedua, akan tetapi dengan mencatatkan masa terpantas 2m37s jelas membuktikan amaran beliau. Perbezaan antara beliau dengan #112 hanyalah 65 mata sahaja. Untuk memburu kejuaraan, beliau harus dan wajib menduduki tempat pertama dan mengutip mata penuh pada pusingan kali ini. Dengan ini, meja kejuaraan akan beralih arah kepada beliau dan kejuaraan akan ditentukan pada pusingan akhir nanti. Mudah? Tidak, #112 adalah lawan yang sangat hebat.
Tapi mereka harus awas, mereka ada masalah dari sudut konsistensi dan kedua-duanya pernah DNF. #112 ketika pusingan pertama manakala #140 pusingan ketiga. Menunggu waktu untuk membaham umpama buaya di Sungai Rajang yang menunggu mangsa membuat kesilapan, Alban #16 yang sekarang ini menduduki tempat kedua dengan jarak mata kejuaraan hanyalah 35 mata sahaja. Beliau amat konsisten meskipun tidak pernah mencium tempat pertama. Andaikata #112 dan #140 DNF pada pusingan kali ini, beliau cukup sekadar menduduki tempat ketiga dan pada pusingan akhir juga menduduki tempat ketiga dan hasilnya, JUARA 2019!
Di satu sudut, kepantasan yang amat menggerunkan. Di satu sudut ada pihak yang dengan tenang menantikan kesilapan pihak musuh. Atas kertas mungkin memihak #112 namun dengan segala kemungkinan yang dihuraikan, tidak mustahil jarum kejuaraan ini akan beralih arah.
Simpan tarikh ini, 13 Oktober 2019 di Litar Antarabangsa Sepang. Harga tiket hanyala RM35.00 dan percuma untuk K1 Grandstand. Bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang.