Kategori yang menghimpunkan jentera – jentera perlumbaan 2000cc dan juga turbo 2000cc yang mempunyai limit saiz turbo. Kategori yang dikatakan menyamai sedikit kategori MSF Ultimate Masters. Kategori yang boleh dikatakan terpantas dalam semua kategori Street yang dipertandingkan. Kategori yang mempunyai trofi tahunan yang menjadi rebutan.
Penggunaan tayar Hankook Rs4 telah membuatkan catatan masa di dalam kategori ini luarbiasa, 2m29s. Amat-amat pantas dan catatan dari jentera NA. Akan tetapi dalam mana-mana perlumbaan, anda boleh jadi yang terpantas, boleh sahaja sesekali naik ke podium dan mengangkat jari satu persis Sebastian Vettel, tetapi penghujungnya siapa yang menjadi juara.
#511 Honda FD2R kendalian Azlan Malik dari Wenso Racing semakin hampir memeluk cium trofi Thunderbolt, trofi tahunan bagi kategori Superstreet. Beliau telah merebut peluang dengan begitu baik dan merampas kedudukan tempat pertama dalam kejuaraan kategori ini ketika pusingan Merdeka Enduro. Malah perkara yang membolehkan kejuaraan dirampas buat sementara waktu ini dengan jayanya apabila kedua-dua pesaing terapat iaitu #626 Boy Wong/-Chong Tun Lung dari Speed Racing Motorsports dan #922 Shazull Hisham dari By Kunyit Racing Team gagal menamatkan perlumbaan. Mereka terpantas tapi sayang menjelang pusingan enduro yang memungkinkan kejuaraan ini beralih arah atau menjadi kekal milik mereka hingga penghujung musim terlepas ke tangan #511 yang sangat konsisten.
#511 hanya perlu menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk pusingan kali ini. Mengambil kira dengan kepantasan yang ada jika mahu dibandingkan dengan dua kereta yang disebut tadi boleh dikatakan agak jauh. Namun dengan konsisten dan race pace yang baik, #511 berkemungkinan berada di tempat kedua dan jika ini berlaku beliau harus memastikan pusingan akhir tiada kecelakaan yang terjadi. Jika ini berlaku pesaing terdekat dalam kejuaraan sekarang sedang mengikut #511 dengan begitu rapat sekali. Siapa?
#900 Desmond Yee dari N1 Racing Team. Pujian harus diberikan, ketika pusingan enduro baru-baru ini, terlibat dengan kemalangan di selekoh pertama, pintu kanan kemek, bumper depan hampir jatuh, beliau teruskan perjuangan dan akhirnya membuahkan hasil kerana menduduki tempat kedua dalam pusingan tersebut dan ini juga menyebabkan beliau melonjak naik ke tempat yang kedua dalam kejuaraan. Dari atas kertas antara mereka berdua, kelebihan berada #511 kerana dilihat lebih pantas. Akan tetapi dalam dunia perlumbaan, apa sahaja boleh terjadi. Andai kata #511 gagal menamatkan perlumbaan pusingan kali ini maka kejuaraan akan beralih arah ke tangan #900 buat sementara waktu. Kenapa sementara waktu? Meskipun kecundang, harapan masih ada buat peserta lain.
#626 yang kecundang pada pusingan enduro, suka atau tidak harus memenangi tempat pertama dan mengutip mata penuh sebanyak mungkin. Dengan cara ini sahaja membolehkan mereka merapatkan jurang antara mereka berdua. Jika ini berjaya, maka kejuaraan yang diburu masih ada lagi harapannya meskipun tipis, ya sangat tipis. Mereka harus mengharapkan #511 pusingan ini dan pusingan akhir kelak hanya menduduki tempat ketiga. Dengan cara ini, maka #626 akan menjadi juara keseluruhan dengan perbezaan 5 mata sahaja.
Kejuaraan agak condong kepada #511 namun #900 amat hampir. Namun #626 juga mampu merampas kejuaraan yang sedang diintai oleh mereka. Panas dan sengit. Apa pun, jentera NA masih lagi menguasai secara total di dalam kategori ini. Dimanakah turbo? Simpan tarikh ini, 13 Oktober 2019 di Litar Sepang, harga tiket RM35.00 sahaja untuk akses penuh.